Wajah menjadi muram, gerak badan menjadi lemah akibat disambar halilintar itu. Segalanya menjadi suram. Kegelapan menyelebungi hati, zulmat membungkam jiwa.
Jika terkena pada hati yang ibarat batu kerikil masih dapat dipertimbangkan, namun bagaimana jika terkena pada hati selembut sutera. Sutera tidak boleh dibasuh sesuka hati kerana ia sensitif. Sutera itu mahal harganya kerana cara penjagaannya perlu rapi. Perlu kepekaan tanpa kelalaian.
Batu kerikil keras teramat. Jika ditumbuk tidak dapat tidak akan merasa kepedihannya. Berhati-hatilah apabila berhadapan dengan perwatakan yang belum dikenali, kerana kita masih belum tahu apa didalamnya.
KERIKIL ATAU SUTERA?
Bertenanglah wahai pemilik sutera! Kerana orang yang bicara denganmu itu tidak tahu bagaimana keadaan hati kamu. Bertindaklah bersama Allah S.W.T. Bawalah Allah S.W.T ke dalam hati kamu. Jika Dia dapat mengampunkan dosa hambanya, siapalah kita sehinnga terlalu ego tidak mahu memaafkan orang yang menyakitkan kita?
Jika kita ikhlas memberi mengapa kita takut untuk menerima. Terimalah apa sahaja yang diberi kembali kerana itulah yang selayaknya untuk kita. Kaji semula hati kita, semasa kita memberi adakah dalam hati kita ada 'tarik tali'. Adakah wujud dalam hati kita rasa ragu-ragu terhadap takdir dan ketentuan Allah S.W.T?
Jika ada rasa sebegitu, ubahlah! Mungkin hati kita perlu ditarbiyyah. Noda hitam yang bertompok masih lagi berbekas. Bersihkanlah dengan zikir dan fikir. Zikirlah dari dalam bukan sekadar bicara bibir. Fikir dan lakukanlah, bukan sekadar fikir dan jadikan pekasam.
"Jadilah seperti pohon yang berbuah, dibaling kayu dibalas dengan buah yang dapat dimakan enak."
Beruntunglah wahai si kerikil. Engkau kebal akan tohmahan dan tumbukan yang diterima. Namun ingatkah engkau akan air yang menitis di atas batu akan meninggalkan bekas?
Engkau masih ada perasaan, engkau masih ada jiwa. Jika terlalu lama engkau menerima tumbukan, ia akan berbekas! Sirnakanlah bekas itu dengan redha. Allah S.W.T telah menetapkan itu terbaik buat kamu. Indahkanlah diri kamu dengan sabar kerana sabar itu indah.
Jika sabar menghiasi diri, keindahan diwajah anda akan terserlah. Allah S.W.T bersama kamu wahai penyabar. Namun, ingatlah! Jangan sampai sabar itu memakan diri kamu apabila kamu bersabar dengan kemungkaran.
Seorang suami akan dianggap dayus dan pengecut jika dia melihat isterinya bermesra dengan lelaki lain tanpa perasaan. Sabar memerlukan tindakan. Bertindaklah mengikut keadaan. Tindakan mestilah rasional dan bersesuian. Jika emosi menjadi raja, sabar tidak bermakna.
Rasulullah S.A.W bersabda:
"Kesabaran merupakan dhiya' (cahaya yang amat terang)." (HR Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda:
"Orang yang paling sabar diantara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya." (HR Baihaqi)
Sabarlah dalam bersabar nescaya tidak akan timbul persoalan "sampai bila aku perlu bertahan?".
Mujahadah dalam bersabar. Bukan mudah tetapi tidak mustahil.
>>>>Copyright by Muhammad Mujahid bin Mohamad Sulaiman thanks a lot<<<<<
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
<orang suka komen>